LOGO KERAJAAN
EVOLUSI PERPADUAN
Dasar pecah dan perintah oleh penjajah British menyebabkan wujudnya jurang antara etnik di Malaysia yang terpisah dari aspek demografi, ekonomi, politik, bahasa, pendidikan dan pergaulan harian yang memberi kesan kepada perpaduan negara.
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan pencetus kepada beberapa usaha serta komitmen Kerajaan dalam menangani isu perpaduan sehingga Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Pada peringkat awal, langkah yang telah diambil berupa tindakan segera yang bertujuan untuk mengekalkan kestabilan politik, keselamatan dan keharmonian negara. Pelbagai langkah dan tindakan dibuat pada ketika itu untuk mewujudkan perpaduan rakyat antaranya menggalakkan interaksi sosial yang lebih tertumpu pada penyertaan masyarakat berbilang etnik dalam majlis dan perayaan yang dianjurkan.
Tumpuan awal telah diberikan kepada usaha merapatkan jurang ekonomi yang wujud antara etnik melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan secara langsung DEB telah menjadi kerangka untuk memperkukuh perpaduan di Malaysia. Bermula dengan Rancangan Malaysia Kedua (RMKe-2) hinggalah Rancangan Malaysia seterusnya, Kerajaan telah menerapkan elemen pengukuhan dan kesepaduan sosial dalam setiap dasar yang diperkenalkannya.
Sebelum ini, Kerajaan telah berusaha untuk mewujudkan kesepaduan sosial melalui dasar-dasar negara yang berbeza antaranya termasuklah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Sosial Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Keselamatan Negara, dan Dasar Komuniti Negara. Dasar-dasar ini telah memberikan impak positif untuk mewujudkan keamanan dan kemakmuran, namun jurang keyakinan antara etnik masih ada.
Menerusi penggubalan Dasar Perpaduan Negara, dasar ini berperanan sebagai dasar payung bagi semua usaha dan komitmen Kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional. Kini, wujud pelbagai cabaran baharu yang memberi kesan kepada perpaduan rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan etnik dan penganut agama yang berbeza. Situasi ini semakin mencabar lagi dengan fenomena globalisasi, kemajuan teknologi dan komunikasi tanpa sempadan, pergerakan manusia yang kian meningkat serta persekitaran politik berasaskan perkauman.
Melalul Dasar Perpaduan Negara, isu dan cabaran yang telah dikenal pasti akan dikaji dan diperhalus dari pelbagai aspek bagi mencari formula penyelesaian terbaik. Dasar ini menetapkan hala tuju bagi memupuk, mengukuh serta memelihara perpaduan melalui strategi-strategi khusus agar perpaduan menjadi budaya dan amalan hidup yang diperakui, dihargai dan diimpikan oleh setiap warga Malaysia.
No comments:
Post a Comment